Saturday, February 13, 2010

Tiga sebab mengapa ALLAH menguji orang Islam

1. Kifarah
Yakni ujian ke atas orang baik tetapi terlanjur melakukan kejahatan. Maka ketika itulah dia diuji. Allah jadikan kesusahan dalam ujian itu sebagai “tebusan” untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. Ertinya, Allah membalas kesalahannya di dunia untuk melepaskannya daripada dibalas di akhirat. Ini lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat. Ringkasnya, kifarah ialah ujian untuk “orang baik yang terbuat jahat”.

Dengan ujian itu, “orang baik” tersebut akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat kepada Allah.

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: Dan Kami (Allah) timpakan kepada mereka azab supaya mereka kembali ke jalan yang benar. (Surah al-Zukhruf: 48)


2. Bala

Yakni ujian ke atas orang jahat yang melakukan kejahatan. Allah jadiakn ujian sebagai hukuman Tuhan di dunia sebelum dihukum lebih berat di akhirat. Dengan kemurkaan-Nya Allah turunkan kepedihan dan kesengsaraan di dunia lagi sebelum orang itu diazab di neraka. Orang yang begini akan diseksa dua kali, pertama di dunia, kedua di akhirat. Ringkasnya, bala ialah bentuk ujian ke atas “orang jahat yang buat jahat”. Umat Nabi Nuh yang di tenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum merasai pula seksa di akhirat.

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: Dan jika mereka berpaling, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan azab yang pedih di dunia dan di akhirat. (Surah al-Tawbah: 74)


3. Ibtila’

Yakni ujian ke atas orang baik ketika melaksanakan kebaikannya, adalah tanda kesih sayang Tuhan kepada hamba-Nya yang taat. Justeru dengan ibtila’ hamba itu akan mendapat pahala dan ditinggikan darjatnya di sisi Allah. Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkasnya, ibtila’ ialah ujian ke atas “orang baik yang buat baik”.

Golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solehin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila’ ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran.

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke-goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”. (Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk menungkatkan darjat.


Sumber: Dilema Melayu - Islam (Kurang Fikir Atau Kurang Zikir) oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi

No comments:

Post a Comment